Sejarah perkataan 'Keling' di Malaysia

Muslihat ibu bapa pada zaman dahulu bagi mengawal anak-anak mereka yang nakal dan buas. Mereka akan memberi amaran keras dengan membuat cerita ngeri mengenai “Keling potong kepala”.

Keling potong kelapa akan penggal leher anak-anak kecil yang berkeliaran jauh dari rumah dan kepala mereka akan ditanamkan di hujung jambatan yang sedang dibina atau di tapak-tapak pembinaan lain.

Pada waktu itu, perkataan ‘Keling’ bukan luar biasa dan tidak dianggap menghina atau menghasut. Asal usul ‘Keling dalam bahasa Melayu adalah rujukan kepada orang dari empayar kuno India bernama Kalinga yang terlatak di negeri Orissa sekarang. Diceritakan yang Empayar Kalinga sangat gagah hingga berjaya menyekat penaklukan Maharaja Asoka.

Jadi, kerana terpengaruh dengan mitos Empayar Kalinga itu, orang Melayu menyamakan orang yang datang dari benua kecil India dengan orang Kalinga. Akibatnya perkataan Keling digunakan dengan meluas.

Misalnya, salah seorang ibu saudara sepupu saya namanya Mak Cik Keling. Kemudian ada Kampung Tok Keling tidak jauh dari kampung saya di Kedah. Di Melaka ada Tanjung Keling. Sejenis gendang yang dipanggil gendang Keling yang boleh didapati di negeri Kedah. Di Terengganu, terdapat juga makanan yang dipanggil sebagai telinga Keling.


Apabila berputar semula pada 1950 an dan 1960 an, kita akan lari bertempiaran apabila nampak orang Keling yang tidak kita kenali kerana berasa takut. Apatah lagilah bila ternampak sami Hindu berpakaian serba kuning, bersanggul, bertongkat dan membawa beg galas yang diperbuat daripada kain. Sahlah dia pemotong kepala.

Putar cepat balik ke hadapan ke abad ke-21, pembunuhan kanak-kanak kerana amalan sihir dan mistik masih berlaku di sesetengah tempat di dunia. Akhbar The Times of India, baru-baru ini melaporkan bagaimana seorang mistik bernama Abdul Gafoor, 31 dan teman wanitanya, Ramala Beevi, 28, menculik seorang budak lelaki, Khader Yusuf, berusia setahun setengah pada 1 Julai lalu dan memenggal lehernya.

Mereka meminum darah kanak-kanak itu dan menanam mayatnya di dua tempat berasingan di negeri Tamil Nadu. Abdul Gafoor memberitahu polis dia mendapat perintah mengorbankan seorang kanak-kanak dan meminum darahnya dalam mimpi untuk mendapat kuasa ajaib.

Mayat kanak-kanak itu dibalut kain warna merah dan ditanam bersama kalungan bunga serta potret dewi Hindu Kali.

Sekarang saya tidak pasti lagi apa muslihat yang digunakan oleh ibu bapa untuk mengawal anak-anak yang nakal. Hendak takutkan dengan Keling potong kepala tentu tidak boleh kerana perkataan Keling tidak boleh lagi digunakan sewenang-wenangnya.

Lagipun, doktor dan pakar psikologi tidak menggalakkan anak-anak diajar dan didisiplinkan melalui ancaman dan cerita karut. Bagi generasi dulu, terima kasih kepada Keling potong kepala, kita tak jadi hantu dan jembalang, pelumba haram dan kutu rayau, kaki gian dan penghuni pusat pemulihan dadah.

Comments

Popular posts from this blog

6 Topi pemikiran

Masih adakah hamba dalam dunia yang serba moden?