Saham penny atau kaunter yang digelar "Cap Ayam"


Istilah penny ini melalui bahasa pasaran saham ialah saham-saham yang harganya di bawah 20 sen. Dalam papan Bursa Malaysia terdapat banyak saham syarikat tersenarai yang harganya berada di dalam lingkungan ini. Contoh terbaik ialah pada saham-saham yang banyak terdapat di dalam pasaran ACE ( boleh rujuk sumber ini untuk mengetahui tentang pasaran ACE https://drwannazri.wordpress.com/2010/03/19/ace-market/ )

Pasaran ACE ini lebih mudah untuk difahamkan adalah syarikat-syarikat yang baru dan ianya berkembang dengan modal-modal yang dikeluarkan oleh pelabur-pelabur. Pelaburan di dalam pasaran ACE boleh mendorong pelabur ke arah risiko yang besar kerana ada sesetengah syarikat di dalam pasaran ACE telah dinyahkan daripada tersenarai di dalam Bursa Malaysia atas sebab-sebab tertentu.

Ramai juga kalangan pelabur dan pedagang runcit yang menjauhkan diri daripada membeli saham-saham cap ayam ini tetapi masih terdapat juga yang menggemari kaun­ter-kaunter ini kerana dengan sedikit kenaikan boleh memberikan hasil yang agak lumayan jika dibeli dalam kuantiti yang besar.

Terdapat banyak saham penny yang telah mencipta sejarah kenaikan luar biasa. Satu daripadanya ialah Iris Corporation Berhad yang masih diingati oleh ramai pelabur dan pedagang saham hingga ke hari ini di mana kenaikannya yang luar biasa iaitu sebanyak 1,500 peratus dalam masa lapan bulan iaitu pada tahun 2006 (http://www.reuters.com/article/iris-idUSKLR15551720080409). Harga sebelum kenaikan hanyalah lapan sen sahaja.

Di dalam proses untuk memilih saham-saham berpotensi naik, seseorang pelabur mahupun pedagang saham perlu ada ilmu dalam membuat pilihan saham apa yang ingin dibeli. Kedua, ilmu pemilihan tersebut sama ada menggunakan pendekatan analisis teknikal atau fundamental atau ke­dua-duanya sekali. Dan ketiga, pertanyaan yang perlu diketahui adalah apakah matlamat pelaburan anda ke atas saham yang ingin dibeli itu?. Adakah ia hanya sekadar untuk transaksi jual beli dalam jangka masa singkat ataupun untuk pelaburan jangka masa panjang?
Sekiranya anda telah me­netapkan prinsip-prinsip dan matlamat berikut, maka tidak salahnya anda membeli saham-saham ini se­perti mana kita membeli lain-lain saham syarikat yang tersenarai di papan Bursa Malaysia

Bagaimana pula saham syarikat itu boleh disenarai sebagai saham penny

Untuk pengetahuan, terdapat juga saham-saham syarikat tersenarai yang asalnya bukan terdiri dari kalangan saham-saham penny. Ia terjadi apabila syarikat me­ngalami kerugian demi kerugian dalam tempoh yang panjang. Oleh kerana kurang atau tiada minat belian di kalangan pelabur, maka harga tidak naik dalam satu tempoh yang lama di­sebabkan tiadanya berita-berita positif, mempunyai banyak kes tuntutan mahkamah, penyata kewangan syarikat yang bermasalah dan apa-apa perkara yang memberi impak negatif kepada syarikat tersebut.
Juga, syarikat yang me­ngalami kerugian tidak dapat memberikan pembayaran dividen kepada pemegang saham dan sudah tentu pelabur yang bijak tidak akan membeli saham syarikat tersenarai yang tiada pembayaran dividen tahunan untuk pelaburan jangka panjang.
Seperkara lagi, saham-saham bertanda atau yang di­klasi­fikasikan di bawah Practice Note atau PN 17 juga kebanyakannya berharga terlalu murah lebih-lebih lagi jika Bursa Malaysia telah mengisytiharkan sesuatu saham syarikat tersenarai bakal dinyahsenaraikan dari papan Bursa Malaysia. Justeru, pelabur dan pedagang saham perlu sentiasa dikemas kini dengan berita-berita serta pengumuman syarikat-syarikat tersenarai.
Sekiranya pelabur ingin mem­beli saham-saham yang mempunyai unsur-unsur spe­kulatif, kajian terperinci lebih-lebih lagi pengurusan risiko serta modal pelaburan yang mencukupi perlu ada serta tindakan yang pantas perlu diambil. Sebagai contoh, sekiranya harga saham yang dibeli itu naik terlalu drastik dan banyak, pengambilan untung perlu dibuat dengan sebaiknya sebelum pengisytiharan UMA atau aktiviti pasaran luar biasa dikenakan ke atas syarikat tersenarai yang sahamnya naik de­ngan drastik dalam waktu yang singkat.
Pengambilan untung perlu dibuat sekurang-kurangnya separuh daripada pegangan sedia ada dan sekiranya sesuatu pengumuman itu bersifat negatif, maka pelabur atau pe­dagang saham perlu bertindak pantas membuat keputusan tanpa berlengah-lengah kerana kadang-kala sedetik masa yang dibiarkan itu boleh mengakibatkan perubahan harga yang banyak.

 




 



Comments

Popular posts from this blog

Sejarah perkataan 'Keling' di Malaysia

6 Topi pemikiran

Pengalaman PLKN Batu Jong Siri 1 2014