Pencarian Maklumat dengan Google

Penulis Azleen Abdul Rahim-Utusan
ANDA pernah Google diri anda ataupun jenama anda sendiri?
Pasti teruja dapat melihat profil anda sendiri terpampang di internet. Tetapi kali ini cuba anda cari jenama anda sendiri di laman enjin pencarian seperti Google, Yahoo mahupun Bing, dengan cara lain selain daripada menulis nama jenama anda.

Cuba anda taip sesuatu yang melibatkan industri anda sendiri, atau mencari jenama anda berdasarkan tempat di mana jenama anda beroperasi, kemudian cuba lihat di dalam senarai yang dipaparkan sama ada, ada atau tidak jenama anda di situ.
Saya yakin jenama anda pasti tidak akan muncul di muka surat pertama, kedua, ketiga ataupun di muka surat berapa sekali pun di Google. Saya juga yakin yang jenama anda tidak akan dijumpai langsung. Anda cuma akan berjumpa apabila anda menaip jenama anda sendiri.

‘Restoran Untuk Sarapan Pagi Yang Enak di Muar.’

Apabila seseorang ingin mencari sesuatu maklumat, mereka tidak akan menaip dengan terperinci. Bagaimana untuk mencari dengan terperinci sekiranya kita pun masih mencari maklumat yang terperinci itu.
Contohnya, jika saya ke bandar Muar di Johor untuk kali pertama dan ingin mencari restoran atau kedai makan yang menawarkan sarapan pagi yang enak, saya akan ke laman Google dan menaip pencarian seperti di atas.
Saya mencari dengan cara sedemikian kerana saya sendiri pun tidak tahu nama-nama kedai di Muar yang menawarkan sarapan pagi yang enak. Kemudian, Google akan menyenaraikan kesemuanya untuk saya.
Kedai mana yang disenaraikan ini, akan meraih untung kerana pelanggan seperti saya akan ke sana.
Jenama besar melabur untuk memastikan jenama mereka dijumpai di internet. Biasanya kaedah pencarian yang dilakukan oleh para pengguna ialah dengan cara mencari berdasarkan sesuatu subjek, industri, tempat, soalan dan sebagainya yang tidak terperinci.
Apabila senarai yang dicadangkan oleh Google misalnya keluar, mereka akan dapat melihat pelbagai pilihan yang ada disertakan dengan laman web yang menulis tentangnya.
Jenama besar melabur begitu banyak dengan membuat pembelian Google AdWords, membeli plug-in yang sesuai untuk digunakan bagi mengoptimumkan pencarian ke laman web mereka.

Pelaburan juga dilakukan ke atas penulisan blog dalam membuat liputan tentang subjek yang sering dicari. Penggunaan tajuk yang menarik dan sering dicari amat penting. Mereka juga berbe­lanja bagi mencari penulis-penulis blog untuk membantu mereka bercerita.
Sekiranya anda bukan jenama yang besar, anda tidak perlu risau sekiranya tidak mampu mengeluarkan pelaburan yang banyak untuk memastikan jenama anda dijumpai melalui strategi-strategi yang dise­butkan tadi. Terdapat satu cara yang lebih mudah dan murah (percuma sebenarnya) untuk digunakan.

Saya syorkan anda gunakan Google+. Rangkaian media sosial ini dimiliki oleh Google. Ramai yang tidak tahu atau tidak berminat untuk menggunakannya kerana ia tidak begitu popular. Ia juga tidak begitu menarik kerana ramai rakan kita tidak berada di sana.
Bagi saya tujuan utama Google+ ini ialah untuk membantu kita dijumpai di Google apabila pengguna mencari sesuatu maklumat tentang produk, perkhidmatan, petua tertentu ataupun apa sahaja yang berkaitan dengan jenama anda.
Bagi membuka akaun di Google+, anda memerlukan e-mel Gmail anda. Kemudiannya lengkapkan profil anda. Apabila semuanya selesai, anda perlu memuat naik status-status terkini anda secara konsisten.

Bukan semua benda yang boleh dimuat naik, kandu­ngan yang terbaik dan berkesan ialah artikel dan infografik. Kedua-duanya perlu kerana Google akan menghantar algoritma mereka ke Google+ anda untuk ‘menghidu’ ayat dan perkataan yang ditulis bagi proses indeks.
Algoritma Google amat sukakan akaun-akaun Google+ yang selalu mempunyai kandungan-kandungan baharu. Semakin banyak artikel yang dimuat naik di sini, semakin banyaklah perkataan dan ayat yang akan disimpan oleh Google dalam indeks mereka.

Lebih banyak kandungan, maka potensi jenama anda untuk dijumpai amat tinggi sekiranya produk atau perkhidmatan anda dicari oleh pengguna.
Terdapat beberapa jenama besar yang menggunakan Google+ ini dengan memuat naik pautan artikel dan infografik di laman web mereka. Apabila ia diklik, para pengguna ini akan ditarik ke laman web.

Tujuan mereka ialah tidak lain untuk menarik trafik. Anda juga perlu lakukan strategi yang sama.

Comments

Popular posts from this blog

6 Topi pemikiran

Sejarah perkataan 'Keling' di Malaysia

Masih adakah hamba dalam dunia yang serba moden?